Total Pageviews

Tuesday, November 22, 2011

Gambar Terakhir

Inilah gambar terakhir arwah abah bersama aku dan cucu-cucu kesayangannya. Beriya-iya arwah mahu bergambar bersama cucu-cucunya.

Kenangan terakhir kami beraya bersama pada tahun ini. Arwah pergi meninggalkan kami dua hari menjelang Hari Raya Aidiladha.

Kini aku kehilangan kasih sayang abah. Padamu kupanjatkan himpunan doa agar rohmu tenang di sana. Al- Fatihah.

Thursday, November 10, 2011

Aku Lemah Tanpa Kamu..

Belum sempat tercapai hasrat ayahanda tercinta meraih hasil dari jualan e-novelnya Bara Esplanade.. Allah lebih menyayanginya. Abah telah kembali ke Rahmatullah setelah bertarung dengan sakit jantung yang dihidapinya lebih kurang setahun.

Arwah merupakan seorang blogger dan telah lama bergiat di dalam bidang penulisan skrip. Semangatnya yang tinggi dan kental, itulah anak jati kelahiran Terengganu.

Saya terjebak dengan dunia blog juga atas dorongan arwah abah. Besar hasrat hatinya untuk melihat anaknya mewarisi dunia penulisan. Saya hanyalah seperti seekor ketam yang baru belajar berjalan.

Tanpa dorongan dari abah lagi, yang tinggal kini hanyalah coretannya yang cukup bermakna menjadi penyuntik semangat untuk meneruskan kehidupan.

Monday, October 17, 2011

e-Novel Bara Esplanade

Sebagai usaha sampingan dalam menceburi dunia usahawanita internet, saya membantu ayah saya menjual e-novel yang ditulis oleh ayah saya.

Kepada rakan-rakan yang berminat, silalah beli melalui akaun bank saya.

Saya janji ini merupakan sebuah cerita yang banyak memberi panduan kepada gadis-gadis mengharungi kehidupan kota yang glamour.

Alaa....harga cuma RM30.00 bukannya mahal sangat. Sekali pergi makan kat warung pun dah habis lebih dari itu.

Tapi kalau beli e-novel setebal 336 mukasurat ini, boleh juga tambah pengetahuan kita sedikit sebanyak, terutama sekali dalam dunia lumba kereta.

Jadi....kawan-kawan! Mari beli cepat sebelum jualan ditutup! Atau klik pada iklan banner ini....tengok kat website baraesplanade.

Friday, July 22, 2011

Homemade Chocolate




Inilah hobi terbaru di samping menambah pendapatan.. Mula-mula belajar pun dari internet jer, alhamdulillah menjadi pulak. Lalu terfikir, daripada duduk saja di rumah..apa salahnya cuba-cuba jual coklat yang dibuat sendiri. Manalah tau kalau ada rezeki anak-anak disini...

Alang-alang raya nak tiba ni, pada sesiapa yang berminat untuk buat tempahan coklat ni bolehlah email saya di ; azlinarusli@gmail.com atau 'add' di facebook Azlina Rusli.

Sunday, November 7, 2010

KTM Jawab

Terima kasih kepada pihak KTM yang telah menjawab aduan saya tempoh hari dan akan mengambil tindakan terhadap kakitangannya.

Sini sukalah saya jelaskan bukannya saya tak boleh bayar surcaj yang dikenakan kerana kehilangan tiket semasa perjalanan itu, tetapi apa yang penting ialah sikap KURANG AJAR staf itu.

Cara dan nada kata tutur itu penting. Apatah lagi bila berkhidmat dalam urusan pelanggan. Apakah kerana saya perlu diherdik, dijerit-jerit dan dimaki-hamun kerana kehilangan tiket???

Maka atas dasar itu, saya nasihatkan pihak KTM lebih menitik beratkan MESRA PELANGGAN. Apatah lagi saya seorang ibu yang sedang sarat mengandung dengan membawa bersama seorang anak kecil berusia 2 tahun. Staf itu sepatutnya perlu ada nilai-nilai budi bahasa.

Suka juga saya nasihatkan pihak KTM supaya ada seorang pegawai bertugas di dalam gerbak memastikan penumpang-penumpang yang dapat tempat duduk supaya bersimpati dan memberi ruang kepada kami ibu mengandung dan OKU tempat duduk.

Ini kerana sepanjang perjalanan dari Subang Parade hingga ke KL Sentral saya terpaksa berdiri sambil memegang tangan anak kecil tanpa mendapat belas simpati dari semua penumpang yang ada tempat duduk.



Salam Puan Azlina,
Terlebih dahulu bagi pihak KTMB kami memohon maaf di atas sikap dan tingkah laku kakitangan kami (Ikhwan Hafiz Bin Izani) dan terima kasih di atas maklumbalas dan keprihatinan puan. Kami telah mengenalpasti kakitangan tersebut. Tindakan segera akan diambil dengan mendapatkan penjelasan dan seterusnya disusuli dengan tindakan disiplin sewajarnya, termasuk latihan dan peyeliaan.
Ingin dimaklumkan bahawa di bawah Akta Keretapi 1991, KTM Berhad boleh mengenakan surcaj sebanyak RM30.00 kepada penumpang yang tidak mempunyai tiket yang sah. Untuk kes puan yang kehilangan tiket, kuasa budi bicara terletak kepada staf yang bertugas. Oleh itu, RM10 yang dikenakan ke atas puan adalah selepas beliau menggunakan budi bicara selaku orang yang diberi tanggungjawab dan kuasa untuk menjalankan penguatkuasaan. Bagi kami En. Ikhwan Hafis telah menjalankan tugas beliau tetapi cara dan bagaimana dia menguruskan masalah puan telah bercanggah dengan piawaian dan pendekatan yang diajar di dalam perkhidmatan pelanggan KTMB.
Ingin ditegaskan bahawa KTMB tidak akan berkompromi dengan mana-mana kakitangan yang gagal untuk menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik dan melanggar peraturan dan piawaian kualiti perkhidmatan yang telah ditetapkan oleh syarikat.
Terima kasih.
Shahril Sahak
Unit Khidmat Pelanggan
KTM Komuter

Monday, October 25, 2010

Staf KTM Kurang Ajar

Saya ingin menyampaikan rasa tidak puas hati terhadap layanan yang diberikan oleh salah seorang petugas KTM yang bertugas di laluan 'gate' KL Sentral.

Sebagai seorang bekas pramugari dan juga pernah bertugas di ERL,sudah tentu saya memahami tugas seorang 'customer service'. Namun saya kecewa dengan apa yang berlaku minggu lalu di laluan keluar komuter KL Sentral.

Saya telah menaiki tren komuter dari Subang Jaya bersama seorang anak saya yang berusia 2 tahun sekitar jam 8pagi. Setelah membayar tiket berharga RM1.60 untuk ke KL Sentral. Maklum dengan keadaan pagi yang sesak dengan orang ramai ke tempat kerja, saya yang sedang mengandung 3 bulan terpaksa juga mendukung anak kecil saya untuk menaiki tren tersebut.

Keadaan yang sesak di dalam koc wanita, tidak ada seorang pun yang memberi ruang tempat duduk kepada saya yang bersama anak kecil. Sudah tentunya saya terpaksa berdiri sepanjang perjalanan meskipun dalam keadaan diri saya yang sarat mengandung.

Setelah tiba di KL Sentral, sekali lagi saya terpaksa mendukung anak saya untuk keluar dari tren dan menaiki 'escalator'. Saya segera mencari tiket yang telah disimpan di poket seluar untuk keluar dari 'gate' yang ketika itu dijaga oleh petugas lelaki di laluan keluar manual. Akan tetapi saya gagal menemui tiket saya, mungkin juga telah tercicir dalam keadaan yang sesak tadi.

Saya ke tepi untuk mencari kalau-kalau tiket saya ada terselit dimana-mana. Saya juga menyelongkar beg galas belakang yang dibawa namun tidak juga berjumpa tiket saya. Lalu saya menghampiri 'staff' bertugas di situ dan memaklumkan yang tiket saya telah tercicir. Dia yang masih sibuk mengambil tiket secara manual dari penumpang seperti acuh tak acuh saja. Kebetulan di situ ada 2 orang polis bantuan, dan seorang daripada mereka menyuruh saya mencari betul-betul. Saya pun ke tepi lagi dan mencari lagi tapi tiket
memang tiada bersama saya.

Sekali lagi saya menghampiri 'staff' tersebut setelah keadaan lengang dan bertanya bagaimana kalau tiket saya hilang. Dia pun menjawab, "kenalah bayar lain." Saya pun mengeluarkan duit sebanyak RM1.60 lagi dan ingin menghulur kepada 'staff' tersebut. Segera dia berkata, "Oh, kalau tiket hilang kena bayar kompaun RM10, tak boleh bayar harga tiket." Saya agak terkedu ketika itu..kesal dengan kecuaian sendiri, lalu saya pun bertanya kiranya ada budi bicara. Dengan sombongnya dia berkata, " Ini pun saya kira RM10 je, ikutkan kena bayar RM30 kalau hilang tiket." Saya yang agak geram dengan sikap angkuhnya,malas nak bercakap banyak dan segera mengeluarkan duit sebanyak RM10 dari 'purse' saya.

Kemudian dia terus mengambil duit begitu sahaja dan ingin memasukkan ke dalam poket bajunya dan memberi laluan untuk saya keluar. Saya yang tidak berpuas hati dengan sikapnya, segera meminta resit. Ini kerana sudahlah dia bersikap acuh tak acuh, agak angkuh dan yang paling saya ragui..duit masuk ke dalam poketnya. Lalu dia pun bertanya kepada saya kembali,"Nak resit jugak ke?" Seakan dia tidak memahami bahasa melayu, saya pun menjawab, "Pleasee.."

Sementara dia menulis resit, saya bercakap-cakap dengan anak saya secara bermain.."Hari ni mama bayar duit tren mahal tau..." Kemudian 'staff' tersebut berpusing dan menghulurkan resit sambil berkata kepada saya, "Haa..lain kali jangan naik tren lagi ye..". Saya yang ingin pergi dari situ terus patah balik dan berkata kepadanya, "Awak jangan kurang ajar..." Dia berpaling dari saya dan menjawab di belakang saya. Entah apa yang dikatakannya..kerana tidak jelas saya dengari.

Saya segera ke kaunter bersebelahan dan bertanya siapa manager yang bertugas kerana saya nak membuat aduan..'Staff' perempuan yang ada di kaunter itu terus bertanya tentang apa..Saya pun jawab, " Boleh saya tahu "staff no. budak yang jaga 'gate' tu dan dengan siapa boleh saya buat aduan..?

Lalu dia pun berkata, kena naik level 4 untuk buat aduan dan 'staff' tersebut ke belakang kaunter meninggalkan saya di depan, mungkin untuk mencari siapa yang saya maksudkan. Saya yang menunggu di situ kira-kira 3minit, membelek resit yang diberi tadi..memandangkan detail yang ada di situ cukup untuk saya laporkan aduan ini, saya segera berlalu tanpa menunggu mereka ke kembali kerana saya perlu mengejar masa.

Buat makluman Tuan, resit yang saya sertakan ini menunjukkan bayaran perjalanan dan bukanlah kompaun seperti yang dimaksudkan oleh 'staff' tersebut. Adakah saya yang tidak memahami dengan sistem yang ada di KTM ini atau 'staff' ini dengan sendirinya membuat sistem sendiri. Walau bagaimanapun, saya meluahkan rasa kecewa saya dengan sikap 'staff' yang bernama Hafis dengan no.pekerja: 300025 atas sikap kurang ajar yang ditunjukkan kepada pelanggan.

Sunday, July 25, 2010

Just Started


(With my nephew and my beloved late grandma)

This blog is just created as a personal blog.

All my personal info will be uploaded soon and as such I appreciated all my friends to visit me here.

So long till we meet again in my next posting very soon.